Tuesday 6 December 2011

Makanan Selepas Bersalin Mengikut Petua Orang Tua





Pemakanan merupakan aspek yang amat penting dalam rawatan ketika pantang bersalin. Ini kerana ketika proses kehamilan dan bersalin telah mengganggu keseimbangan hormon ibu. sehingga mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal Sewaktu ibu itu melahirkan anak, tenaga dikerah , urat saraf banyak yang cedera , terputus dan terjadinya luka di bahagian tertentu pada si ibu.

   Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan hanya makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum). Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah dan sebagainya.
   Oleh sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan ketika menjalani proses dalam berpantang. 
   Ketika itu mungkin mereka yang kurang mampu akan menggunakan apa saja makanan yang sesuai mengikut keadaan dan kemampuan keluarga. Malahan ketika itu juga mungkin mereka kurang ilmu pengetahuan dari segi sainstifik mengenai kabaikan dan keburukan sesuatu makanan tersebut.

Jenis makanan:


Jenis ikan
Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental. Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik yang dilakukan juga turut mendapati perkara tersebut memang benar.

Ulam-ulaman

Pelbagai jenis ulam tempatan disarankan dimakan oleh ibu dalam pantang kerana ianya  mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.

Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:

Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas dan daun ruku.


Jenis sayuran dan buahan

Ibu bersalin dilarang sesekali memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung.

Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti air tebu, air cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. .
Makanan tersebut dilarang kerana mungkian akan mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.


Jenis ayam

Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan lada hitam,halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.

Berikut adalah beberapa petua dan pandangan orang dahulu mengenai makanan untuk ibu bersalin atau ketika mereka dalam berpantang. Semoga dapat kita kongsikan bersama untuk kebaikan semua. Amin.

No comments:

Post a Comment